
Lim berkata, jika dakwaan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdullah bahawa hanya 1,000 pengundi di Singapura berdaftar untuk mengundi secara pos itu benar, maja tempoh pendaftaran itu mesti dilanjutkan.
“Sekiranya benar hanya kira-kira 1,000 orang yang mendaftar untuk mengundi secara pos sedangkan ada 200,000 orang pengundi Johor di Singapura, saya gesa SPR melanjutkan tarikh tutup pendaftaran seminggu lagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, tempoh sembilan hari untuk mendaftar yang diberikan oleh SPR terlalu singkat.

“Pengundi Johor di Singapura diberikan kurang daripada 10 hari untuk mendaftar. Malangnya orang ramai perlu berdaftar sebagai pengundi untuk memohon undi secara pos dan pindaan saat akhir ini bermakna mereka yang tidak berdaftar sebagai pengundi sebelum ini, tidak layak,” katanya.
Lim berkata, jika SPR mahu jumlah pengundi keluar mengundi yang tinggi, ia harus melanjutkan tempoh pendaftaran untuk undi pos.
Sebelum ini, SPR hanya membenarkan pengundian di luar negara untuk rakyat Malaysia yang telah berada sekurang-kurangnya 30 hari di negara itu dalam tempoh lima tahun lepas.
Ini bermakna rakyat Malaysia yang tinggal di selatan Thailand, Singapura, Brunei atau Kalimantan di Indonesia tidak layak mengundi secara pos dan harus pulang mengundi.
Namun keputusan untuk meminda keperluan itu dibuat menjelang pilihan raya negeri (PRN) Melaka tahun lalu bagi membolehkan semua rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara memohon untuk membuang undi melalui pos.
Tarikh PRN Johor ditetapkan pada 12 Mac ini. Penamaan calon akan diadakan pada 26 Feb dan tarikh mengundi awal pada 8 Mac.