Saya bersyukur masih dipanjangkan usia, sampai di Ayer Hitam, kata Dr M

Saya bersyukur masih dipanjangkan usia, sampai di Ayer Hitam, kata Dr M

Pengerusi Pejuang itu berkata rakyat Johor perlu berani memilih partinya yang akan menjanjikan satu kerajaan yang stabil dan tidak memilih kerajaan terlibat dengan rasuah.

Dr Mahathir Mohamad berucap di hadapan masyarakat Cina di Ayer Hitam, Johor, hari ini.
AYER HITAM:
Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad memanjatkan kesyukuran kerana diberi umur panjang serta berpeluang turun berkempen di Ayer Hitam, Johor hari ini.

Mahathir berkata, beliau mahu berkhidmat untuk negara dan memastikan rakyat di Johor tidak salah memilih kerajaan negeri.

“Saya datang sini bersyukur kerana boleh sampai sini. Satu masa saya ingat dah ‘habis’ dan tidak boleh bernyawa lagi tetapi doktor (merawat) saya pandai ‘gali’, masih hidup dan dapat buat lawatan.

“Saya bersyukur dengan kesihatan diri. Bagi saya tidak ada apa nak buat dan nyawa diberi ini khidmat untuk negara,” katanya dalam satu pertemuan dengan 50 orang anggota masyarakat Cina di sebuah restoran di Ayer Hitam.

Kata Mahathir, rakyat Johor perlu berani memilih partinya yang menjanjikan sebuah kerajaan yang stabil dan tidak memilih kerajaan yang terlibat dengan rasuah.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah kepimpinan dan penyokong Pejuang yang menyambut kehadiran beliau ke Ayer Hitam.

Selain itu, turut hadir adalah taikun hartanah Lee Kim Yew yang turut berucap dalam majlis itu.

Lee berkata, Mahathir banyak menjadi penyelamat untuk negara seperti ketika krisis kewangan pada 1990.

Beliau menyarankan agar pengundi memilih pemimpin yang betul dan tidak memilih pemimpin yang terpalit dengan rasuah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.