
PETALING JAYA: Pengerusi Pejuang, Dr Mahathir Mohamad mengesahkan tidak akan bertanding di mana-mana kerusi Parlimen, termasuk Langkawi dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Bekas Perdana Menteri itu berkata, ia bagi memberi peluang kepada calon sesuai dan lebih muda menyertai arena politik serta pilihan raya, selain faktor kesihatannya yang belum pulih sepenuhnya.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, beliau akan membantu kempen yang digerakkan Pejuang sebelum PRU15 sekiranya diperlukan.
“Kita (dalam Pejuang) hendak cari orang yang lebih muda daripada saya (untuk ganti saya bertanding di Langkawi). Saya boleh ada bersama (dengan calon itu), saya (juga) boleh beri nasihat (kepadanya), saya boleh ambil bahagian dalam kempen, iaitu kalau ada satu tempat yang saya perlu hadir, saya akan hadir dan mungkin (akan) bercakap sikit (bagi membantu jentera parti),” katanya dipetik Astro Awani.
Sebelum ini, Mahathir beberapa kali memberi bayangan tidak akan bertanding dalam PRU15 bagi mewakili Pejuang, termasuk di Parlimen Langkawi yang dijangka diserahkan kepada calon baharu, meskipun kepimpinan tertinggi dan akar umbi mahu beliau bertanding.