
KUALA LUMPUR: Seramai 150 individu dikenakan kompaun berjumlah RM150,000 kerana disyaki tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 ketika berhibur di dua premis hiburan di Jalan Raja Chulan dan Jalan Bukit Bintang, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya, berkata semua yang ditahan terdiri 75 lelaki dan 75 wanita warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 65 tahun.
Beliau berkata, selain 150 individu itu, polis turut menahan dua lelaki warga asing.
“Semua disiasat mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (PPN) 2021 serta Seksyen 6(1) (c) Akta Imigresen 1959/63.
“Hasil pemeriksaan, polis buka satu kertas siasatan bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) atas kesalahan menganjurkan aktiviti kelab malam tanpa lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Dellhan menasihatkan orang ramai terus mematuhi SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.
Beliau berkata, polis akan meningkatkan operasi dan pemeriksaan di pusat hiburan serta memantau kegiatan kelab malam yang jelas tidak dibenarkan bawah PPN Fasa 4.