
BEAUFORT: Jumlah mangsa banjir dari Kampung Suasa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Datuk Mohd Dun Banir di sini kekal 43 orang malam tadi.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan jumlah itu melibatkan mangsa daripada 14 keluarga yang dipindahkan ke PPS itu semalam.
“PPS berkenaan mula dibuka pada Isnin lepas sebagai persediaan untuk menghadapi bencana banjir berikutan hujan berterusan sejak beberapa hari lalu,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan jawatankuasa itu turut memaklumkan bahawa seramai 653 mangsa daripada 115 keluarga masih berada di tiga PPS di Daerah Tawau susulan kejadian kebakaran rumah atas air di Kampung Kurnia Jaya, Tawau pada 17 Mac lepas.