
PETALING JAYA: Persempadanan semula kawasan pilihan raya mesti dilakukan untuk melindungi undi berjuta rakyat Malaysia yang menetap di bandar, kata badan pemantau pilihan raya, Bersih.
Pengerusinya, Thomas Fann berkata penduduk yang terlalu bertumpu di kawasan bandar menyebabkan pengundi bandar akan kurang diwakili sekiranya persempadanan semula itu tidak dibuat.
Fann berkata sejumlah besar pengundi telah dimasukkan secara automatik ke dalam daftar pemilih susulan pindaan undang-undang mengundi dan penghijrahan belia untuk mencari pekerjaan di bandar.
“Jumlah pengundi muda di kerusi kawasan bandar terlalu besar. Ahli Parlimen sukar untuk berkhidmat kepada mereka,” katanya.
Fann berkata, Bangi yang menjadi kerusi Parlimen paling besar di Malaysia dari segi jumlah pengundi, menyaksikan penambahan daripada 178,790 kepada lebih 295,000 pengundi pada pilihan raya umum (PRU) 2018.
Katanya, kerusi itu akan mempunyai lebih 300,000 pengundi menjelang PRU akan datang.
Sebaliknya, Sabak Bernam, juga di Selangor, hanya mempunyai 51,000 pengundi, menjadikan Bangi mempunyai jumlah pengundi sebanyak enam kali ganda.
“Ini adalah ketidakseimbangan dalam negeri hanya di Selangor saja,” katanya.
Jika Bangi dibandingkan dengan Igan di Sarawak, yang mempunyai 28,000 pengundi, nisbahnya akan menjadi 10:5:1 sekali gus menjadikan pengundi di Igan “lebih bernilai lebih 10 kali ganda berbanding di Bangi dan nilai undi pengundi di Sabak Bernam adalah lebih enam kali ganda berbanding mereka di Bangi”.
Statistik kerajaan menunjukkan 75% daripada populasi atau 24.3 juta penduduk tinggal di kawasan bandar tahun lalu, manakala pada 2010, angka itu ialah 70.9% (19.5 juta orang).
Fann berkata kawasan pilihan raya persekutuan dan negeri mesti ditetapkan semula untuk mematuhi prinsip perlembagaan kerusi yang “kira-kira sama dalam bilangan pemilih” seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menyeru agar Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melakukan pembaharuan dan bebas, dapat membuat kajian semula persempadanan pilihanraya secara saksama dan profesional serta pindaan perlembagaan.