
KUALA LUMPUR: Seramai 108 pengunjung pusat hiburan tidak berlesen di Cheras, dikompaun berjumlah RM108,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dalam serbuan tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) Pelan Pemulihan Negara 2021.
Katanya, dalam serbuan ke atas premis yang beroperasi di Cheras Business Centre, 12.15 tengah malam, pihaknya turut menahan tiga lelaki kerana menjalankan perniagaan, menjual minuman keras tanpa lesen dan menggajikan pekerja asing tanpa permit.
“Tangkapan melibatkan seorang lelaki tempatan yang merupakan pengurus pusat hiburan berkenaan dan dua pekerja lelaki bukan warganegara berumur antara 26 hingga 42 tahun.
“Siasatan lanjut mendapati semua suspek tidak mempunyai rekod (kesalahan) lampau dan kes disiasat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya dalam kenyataan.
Idzam berkata, dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas kelengkapan dan barangan seperti seunit Digital Echo AV Amplifier, seunit pembesar suara, dua mikrofon tanpa wayar dan lima botol minuman keras pelbagai jenama.
Polis memohon kerjasama orang ramai supaya menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran SOP PPN Fasa 4 bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19.