PETALING JAYA: Universiti Teknologi MARA (UiTM) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pensyarah yang membuat komen sensitif terhadap seorang pelajar B40 yang tidak mempunyai komputer riba dan dipercayai berlaku ketika sesi kelas atas talian.
Naib Canselor UiTM, Prof Roziah Mohd Janor berkata, pihaknya kini dalam proses membuat penelitian berhubung klip video tular itu termasuk tindakan yang akan diambil terhadap pensyarah terbabit
“Susulan penularan video di media sosial membabitkan tindakan seorang pensyarah UiTM yang telah mengeluarkan komen sensitif, pihak universiti telah meneliti isu tersebut dan mengambil tindakan pantas dan sewajarnya terhadap pensyarah berkenaan.
“UiTM juga bertegas untuk tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjatuhkan nama baik UiTM dengan sengaja mahupun tidak,” katanya dalam satu kenyataan.
Roziah berkata, UiTM amat mengutamakan kebajikan seluruh warganya, khususnya pelajar dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik bagi persekitaran pendidikan yang kondusif.
“UiTM amat memahami kekangan, kesulitan dan situasi yang dihadapi oleh pelajar dalam menjalani proses pembelajaran dan pengajaran secara dalam talian,” tambah kenyataan itu.
Pengguna media sosial hari ini mengecam tindakan seorang pensyarah di sebuah universiti awam kerana bertindak kasar dengan memalukan seorang pelajar ketika sesi pembelajaran dalam talian kerana tidak mampu membeli komputer riba.
Video berdurasi 1 minit 45 saat yang tular sejak semalam itu memaparkan seorang pensyarah mengherdik seorang pelajar lelaki kerana masih tidak memiliki komputer riba walaupun sudah memasuki Semester 5.