
KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret memerintahkan seorang graduan jurusan kejuruteraan sivil Universiti Malaya (UM) membela diri atas pertuduhan menghina bekas naib canselor Abdul Rahim Hashim pada majlis konvokesyen 2019.
Peguam Tan Wei Shin berkata, majistret membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesnya terhadap Wong Yan Ke di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Mahkamah berpuas hati apabila kes prima facie berjaya dibuktikan terhadapnya,” katanya kepada pemberita di luar kompleks mahkamah hari ini.
Tonton video di sini.
Majistret Fardiana Haryanti Ahmad Razali menetapkan 4 hingga 7 Julai sebagai tarikh perbicaraan.
Tan berkata, mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan pada 17 Mei untuk pihak pembelaan mengemas kini bilangan saksi yang akan dipanggil.
Timbalan Pendakwa Raya Fahiran Nor Jihan Mukhtar mengendalikan kes pendakwaan.
Wong, yang merupakan koordinator Suara Rakyat Malaysia (Suaram) didakwa melakukan kesalahan itu pada Majlis Konvokesyen UM ke-59 di Dewan Tunku Canselor pada Oktober 2019.
Dia yang juga presiden Persatuan Belia Baharu Universiti Malaya (Umany) ketika itu,mencetuskan kekecohan ketika menerima skrolnya apabila membawa plakad bantahan di atas pentas menuntut peletakan jawatan naib canselor.