
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bersetuju memberi pengecualian selama setahun ke atas kadar duti hiburan untuk bayaran masuk pertunjukan pentas (bertiket) bagi artis tempatan berkuat kuasa 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2022.
Menteri Besar Amirudin Shari berkata, pengecualian itu diberikan selepas menerima pandangan dan maklum balas orang ramai terutama golongan seni berkenaan pelaksanaan duti hiburan yang menjadi perhatian baru-baru ini.
“Pengecualian ini bagaimanapun tidak terpakai untuk artis antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, untuk aktiviti “busking”, buat masa ini tiada sebarang caj duti hiburan dikenakan oleh kerajaan negeri manakala kadar duti hiburan untuk “live band” (tidak bertiket) juga diberi pengecualian selama setahun bermula 1 Jan 2022 hingga 31 Dis 2022.
Dalam pada itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri juga mengarahkan Pejabat Tanah dan Galian Negeri dan Jabatan Perhutanan Negeri supaya mewartakan semula Hutan Simpan Kuala Langat Utara dengan segera.
“Ini melibatkan kawasan Kampung Orang Asli Busut Baru seluas 42.05 hektar dan jajaran laluan paip air mentah Loji Rawatan Air Sungai Rasau seluas 8.58 hektar, menjadikan luas keseluruhan kawasan yang akan diwarta semula lebih kurang 486.07 hektar,” katanya.