
PETALING JAYA: Graduan undang-undang tempatan dikecualikan daripada mengambil peperiksaan Sijil Amalan Guaman (CLP) kerana modul CLP sudah menjadi sebahagian daripada kursus tahun akhir mereka, kata seorang bekas presiden Badan Peguam Malaysia.
Salim Bashir berkata, graduan tempatan mengikuti pengajian undang-undang Malaysia dan modul CLP, manakala graduan luar negara mempelajari undang-undang Inggeris selama tiga tahun bagi mendapatkan ijazah.
Justeru mereka terpaksa pulang ke tanah air untuk menduduki peperiksaan CLP sebelum menjadi peguam.
Katanya, peperiksaan CLP diwujudkan kira-kira 30 tahun lalu kerana mereka yang memperoleh ijazah undang-undang dari luar negara tidak boleh menyertai badan peguam di United Kingdom (UK).
“Mereka pulang dan mengambil peperiksaan CLP yang antara lain melibatkan undang-undang substantif dan prosedur tempatan,” katanya.
Salim berkata demikian bagi mengulas pandangan kolumnis FMT yang beranggapan adalah tidak adil untuk meletakkan had ke atas bilangan peperiksaan CLP yang boleh diambil oleh graduan undang-undang dari luar negara atau universiti swasta.
Katanya, satu-satunya isu ialah CLP dilihat bersifat akademik dan kurang memberi penekanan kepada aspek praktikal dalam melatih peguam.
“Penyelesaian kami ialah melaksanakan Common Bar Course (CBC) untuk mengekalkan kualiti graduan undang-undang tempatan dan asing yang berhasrat untuk menjadi pengamal undang-undang,” kata Salim yang juga pengerusi jawatankuasa CBC yang ditugaskan untuk menyediakan kurikulum berkenaan.
Sejak 2017, Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang menetapkan calon yang mengambil CLP perlu lulus peperiksaan itu menerusi empat percubaan dalam tempoh lima tahun atau menduduki semula satu kertas dengan maksimum tiga percubaan.
Salim berkata, universiti tempatan juga menekankan kualiti dengan menetapkan tiga percubaan untuk pelajar lulus kertas undang-undang teras.
Seorang lagi peguam kanan yang enggan dikenali berkata, kualiti tidak boleh dikompromi kerana CLP adalah peperiksaan profesional.
“Malah di UK juga terdapat had bilangan graduan untuk menduduki peperiksaan di sana,” katanya.