
PETALING JAYA: Polis menahan 13 pelajar tingkatan empat sebuah sekolah menengah kebangsaan (SMK) di Langkawi hari ini bagi membantu siasatan kes seorang pelajar lelaki dipukul beberapa pelajar lain yang tular dalam satu rakaman video.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Shariman Ashari berkata, 12 pelajar itu ditahan pada 12.30 tengah hari tadi dan seorang lagi pada 3 petang.
“Lima daripada mereka merupakan rakan sekelas mangsa, manakala bakinya dari kelas berasingan. Rakaman percakapan sedang diambil bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima satu laporan berkaitan kes seorang pelajar lelaki 16 tahun dipukul beberapa pelajar lain dalam satu rakaman video selama 25 saat.
Kejadian pada 9 pagi semalam itu dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dengan pelajar lain.