
PETALING JAYA: Sebuah video yang dikongsi di media sosial hari ini menunjukkan seorang pelajar lelaki dipukul hampir 10 pelajar lain di dalam kelas.
Rakaman video berdurasi 25 saat itu menunjukkan remaja berkenaan, dipercayai pelajar sebuah sekolah menengah di Langkawi, Kedah, berdasarkan pakaian seragamnya, berkata sesuatu sebelum dipukul oleh pelajar lain, termasuk dibaling dengan meja tulis.
Utusan Malaysia melaporkan rata-rata pengguna Telegram yang melihat rakaman itu mengecam tindakan pelajar yang memukul remaja tersebut.
“Budak-budak la (sekarang) ni pakat-pakat nak tunjuk hero…,” kata Mohd Yunus Ali.
“Raya dalam lokap la,” kata Muhd Bakhtiar.
Sementara itu, Ketua Polis Langkawi Shariman Ashari mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenai kejadian.
“Kes sedang dalam siasatan. Maklumat lanjut akan menyusul kemudian,” katanya ketika dihubungi.