
SEREMBAN: Sebut sahaja ketam lumpur, umum mengetahui bahawa habitatnya adalah di kawasan paya bakau.
Namun siapa sangka ketam itu kini boleh diternak di dalam rumah menggunakan sistem air kitar semula (recirculating system) yang mendatangkan keuntungan lumayan.
Berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan mekanikal berkaitan rawatan air, Musa Osman, 59, menggunakan kepakaran yang dimilikinya selama 20 tahun untuk mereka cipta “kondominium ketam lumpur” yang menepati kaedah kebun bandar.
Hanya dengan keluasan 1 kaki panjang, 5 kaki lebar, peminat kebun bandar boleh menternak 35 ekor ketam pada satu-satu masa.

“Sekarang kita lihat ramai orang bandar suka bertani tetapi tiada tanah. Saya buat set ni memang khusus untuk orang bandar. Kondominium ketam ini sesuai untuk mereka yang tinggal di rumah strata kerana bersaiz kompak dan mudah diurus.
“Selain itu, ia menjimatkan air kerana menggunakan sistem penapisan air tersendiri,” kata Musa ketika ditemui di kediamannya di Kampung Ujong Pasir, Seremban.
Menurut Musa, penternakan ketam lumpur berprospek tinggi kerana boleh mendatangkan keuntungan lumayan disebabkan permintaan yang cukup tinggi di pasaran tempatan.
“Purata harga jualan bagi ketam ini ialah sekitar RM60 hingga ke RM65 sekilogram,” katanya.
Terdapat empat spesies ketam lumpur yang dikenal pasti, iaitu scylla serrata, scylla paramamosain, scylla olivacea, dan scylla tranquebarica.

Spesies yang biasa dijumpai di paya bakau Malaysia adalah scylla olivacea dan scylla tranquebarica.
Sebelum ini, Musa bekerja di Pelabuhan Klang dengan sebuah syarikat antarabangsa sebagai jurutera merawat pelbagai jenis air seperti air mineral, air minuman, dan air kumbahan yang ditapis dan digunakan kembali.
Namun, disebabkan minat yang mendalam terhadap kebun bandar, beliau tekad berhenti kerja dan mula mencipta “kondominium ketam lumpur” untuk dijual kepada peminat haiwan bercengkerang itu.

Untuk menghasilkan “kondominium ketam lumpur” itu, beliau membelanjakan lebih RM100,000 untuk tujuan penyelidikan dan penyediaan kertas kerja bagi mendaftarkannya sebagai harta intelek. Bagaimanapun, ideanya telah dicuri oleh salah seorang pelanggannya.
“Ketika itu, saya agak kecewa juga kerana usaha saya ditiru, tetapi saya bangkit semula. Saya tidak pernah patah semangat dan akan terus berusaha mereka cipta. Selepas ini saya akan reka sistem untuk udang karang pula,” kongsinya.
Kepayahan yang dilaluinya berbaloi kerana sehingga kini, bapa kepada tiga cahaya mata itu telah menjual lebih 100 unit “kondominium ketam lumpur” yang direka dengan dua saiz, iaitu 35 dan 100 pintu masing-masing berharga RM2,500 dan RM6,000.