
KOTA KINABALU: Jumlah sekolah yang terkesan akibat banjir di Sabah terus meningkat apabila sebanyak 24 buah sekolah terpaksa ditutup buat sementara waktu.
Pengarah Pendidikan negeri, Mistrine Radin berkata, penutupan sekolah itu membabitkan 17 buah di Beaufort dan tujuh buah di Tenom
“Jumlah murid yang terjejas akibat penutupan sekolah ialah 4,526 orang manakala jumlah guru yang terlibat ialah seramai 474 orang.
“Antara faktor penutupan sekolah ialah kerana paras air semakin naik, banjir belum surut, laluan ke sekolah tidak dapat dilalui semua kenderaan dan juga sebuah lagi sekolah di Tenom ditutup kerana digunakan sebagai pusat penempatan sementara (PPS),” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sementara itu, 193 penduduk membabitkan 52 keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Selagon, di sini, sejak 9 malam tadi berikutan banjir yang melanda 55 kampung di Beaufort serta Membakut.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Beaufort berkata, jumlah itu membabitkan 26 lelaki, 58 wanita dan 109 kanak-kanak termasuk 21 bayi dari beberapa kampung terjejas.
“Cuaca hujan lebat di Tenom pada Isnin lalu sehingga mengakibatkan paras air Sungai Padas berada di tahap bahaya dengan bacaan 9.6 atas min aras laut (AMSL).
“Selain itu, penambahan air dari Sungai Kemabong dan Sungai Pegalan turut menyumbang kepada kenaikan paras di Sungai Padas ini,” katanya.
Menurutnya, pihak pengurusan empangan Hydro Pangi juga terpaksa membuka tiga pintu empangan bagi mengurangkan kuantiti air di empangan berkenaan.