
PETALING JAYA: Debat perdana antara Najib Razak dan Anwar Ibrahim semalam menampilkan hujah-hujah penting yang saling melengkapi dan boleh dijadikan prinsip penting bagi memulihkan ekonomi negara dan menarik pelaburan, kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Johari Ghani.
Beliau berkata, sungguhpun Najib dan Anwar menyampaikan “ideologi” berbeza pada debat berkenaan, yang jelas ialah kedua-dua bekas menteri kewangan itu berkongsi matlamat sama dalam isu pembangunan ekonomi dan menegakkan amanah rakyat.
Beliau berkata, pada debat itu, Najib mengutarakan keperluan sesebuah kerajaan melihat sesuatu perkara daripada sudut makro yang melibatkan inisiatif lebih luas (big picture initiatives), manakala Anwar memberi penekanan kepada soal tadbir urus dan ketelusan.
“Kedua-dua ideologi ini sangat diperlukan oleh negara. Kalau kedua-dua (pendekatan) ini dapat disatukan, saya percaya negara ini akan dapat dibangunkan dengan pantas, di samping dapat memberi keyakinan tinggi kepada pelabur (asing),” kata Johari yang juga bekas menteri kewangan II.
Antara contoh “big picture initiatives” yang dirujuk Johari ialah langkah Najib memperkenalkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) semasa menerajui negara, yang kemudiannya dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan.
Tidak lama selepas pemansuhan itu, timbul desakan supaya kerajaan memperkenalkan semula GST kerana ia sistem percukaian lebih adil dan menambah hasil negara serta meningkatkan keupayaan kerajaan mengesan syarikat yang lari daripada tanggungjawab membayar cukai.
Johari berkata, hujah yang dikemukakan Najib dan Anwar amat relevan dalam memastikan tadbir urus terbaik, tidak kira dalam pengurusan sebuah syarikat mahupun ekonomi negara.
“Sekiranya sebuah syarikat tidak ada jualan (produknya), mana boleh ia menjana keuntungan. Tetapi, jika (syarikat) mencatat jualan besar mana sekalipun, tanpa mempunyai pengurusan dan tadbir urus cekap, ia tidak mungkin menjurus kepada keuntungan berpanjangan.
“Begitu juga dalam konteks ekonomi negara. Kalau negara mempunyai banyak projek mega yang tidak diurus dengan cekap dan tiada tadbir urus yang tinggi, ia akan membawa masalah kepada kerajaan kelak,” kata Johari.
Justeru, kata beliau, sebarang pelaburan oleh institusi awam dalam mana-mana syarikat, harus berdasarkan asas (fundamentals) syarikat berkenaan demi memastikan tidak ada ketirisan, pembaziran atau salah guna wang rakyat.
Beliau berkata, institusi seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Berhad, Lembaga Tabung Haji, Kumpulan Wang Amanah Pencen dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera, harus bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap keputusan pelaburan mereka.
“Kalau mereka melihat pengurusan syarikat yang dilabur itu tidak cekap dan tidak mempunyai tadbir urus kukuh, (maka) mereka tidak ada sebab untuk menambah pelaburan dalam syarikat sedemikian.
“Institusi pelaburan awam ini diwujudkan untuk melabur wang rakyat dan bukan untuk mengurus syarikat itu sendiri,” tambah Johari.
Pada debat perdana semalam yang disiarkan secara langsung di media sosial dan televisyen, Najib dan Anwar mengupas isu berkaitan Sapura Energy Bhd yang melibatkan pelaburan institusi awam serta masa depan Malaysia merangkumi ekonomi dan politik.