
GEORGE TOWN: Memaksa doktor pelatih bekerja sekurang-kurangnya 65 jam seminggu melanggar undang-undang buruh, kata seorang ahli kesatuan sekerja dan bekas menteri sumber manusia.
Bekas menteri sumber manusia, M Kulasegaran dan ahli kesatuan sekerja, K Veeriah berkata, undang-undang buruh Malaysia mengehadkan waktu bekerja kepada 48 jam seminggu, seiring saranan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).
Mereka menyifatkan waktu bekerja terlalu panjang seperti yang terpaksa dilalui doktor pelatih (dan segelintir doktor senior) adalah satu bentuk perhambaan moden, malah juga buruh paksa.
Buat masa ini, doktor pelatih bekerja dalam tiga syif, iaitu 7 pagi hingga 5 petang, 7 pagi hingga 9 malam atau secara “on-call” dari 8 malam hingga 9 pagi.
Mereka juga perlu bekerja lebih masa sekurang-kurangnya dua minggu apabila berpindah ke jabatan baharu, selain perlu mengikut doktor senior sepanjang hari.
Ini boleh dilanjutkan dua minggu lagi sekiranya tidak mencapai standard ditetapkan. Doktor pelatih bergilir melalui sembilan disiplin perubatan berbeza di hospital setiap suku tahun.
Dua minggu itu yang secara tidak formal digelar “tagging”, memerlukan doktor pelatih bertugas dari 7 pagi hingga 10 malam. Bagaimanapun, mereka perlu melapor diri seawal 4 pagi untuk menyediakan butiran ringkas pesakit sebelum doktor senior tiba pada 7 pagi.
Semua doktor pelatih diberi sehari cuti dalam seminggu. Hasil semakan FMT mendapati keadaan ini berlaku di hospital besar dengan wad lebih besar.
Doktor senior dan pegawai perubatan juga perlu bekerja untuk tempoh lama, iaitu sekurang-kurangnya 75 jam seminggu dan lazimnya secara “on call”.
Jadual kerja mereka lazimnya ialah dari 8 pagi hingga 5 petang, manakala tugasan “on call” selalunya selepas waktu kerja sehingga tengah hari keesokannya.
Bagaimanapun, satu dokumen Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2019 menyatakan doktor pelatih bekerja selama “60-62 jam seminggu sekarang, iaitu pengurangan ketara berbanding purata 84 hingga 106 jam seminggu sebelum September 2011”.
Kulasegaran berkata, waktu kerja doktor di hospital awam perlu disemak segera kerana melanggar undang-undang buruh tempatan dan antarabangsa.
“Ini adalah perhambaan moden. Saya tidak rasa ini wajar dibiarkan. Doktor, tidak kira junior atau senior, tidak patut bekerja melebihi had keupayaan mereka,” katanya kepada FMT selain menambah bahawa Jabatan Tenaga Kerja perlu meneliti amalan di hospital dan memberi cadangan prosedur operasi standard (SOP) yang boleh diperbaiki demi kesejahteraan semua kakitangan hospital.
Sementara itu, Veeriah berkata, kisah doktor pelatih berdepan pembulian selain waktu kerja yang panjang adalah petanda jelas ia adalah buruh paksa mengikut petunjuk ILO.
“Tidak boleh dipertikaikan bahawa waktu kerja terlalu panjang akan memudaratkan kesihatan fizikal dan mental seseorang.
“Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), waktu kerja lebih 55 jam seminggu sangat membahayakan kesihatan. Bukankah doktor sepatutnya mematuhi nasihat sendiri?”
Pakar psikologi, Sitra Paneersheluam berkata, waktu kerja panjang boleh menyebabkan keletihan mental dan beban kognitif berlebihan.
“Doktor yang berurusan dengan pesakit dan ubat-ubatan mesti sentiasa dalam keadaan peka kerana ia boleh mengakibatkan maut dalam kes melampau.
“Siapakah yang menjaga kesihatan mental doktor-doktor kita? Malangnya ia masih tidak dibincangkan.”