
PETALING JAYA: Jawatankuasa pengurusan sebuah kuil dan operator kren boleh didakwa atau dikenakan saman sivil susulan kematian seorang wanita yang ditimpa serpihan patung batu terjatuh dari bahagian atas kuil, kata seorang peguam.
Kejadian itu berlaku ketika upacara ritual di Kuil Arulmigu Visalatchi Sametha Kasi Visvanathar, Ipoh pada Ahad lalu. Wanita berusia 53 tahun itu meninggal dunia selepas ditimpa serpihan itu.
Polis sedang menyiasat sama ada serpihan patung itu terjatuh disebabkan kren yang digunakan ketika upacara itu untuk membawa orang naik ke bahagian atas kuil terbabit.
Peguam, Ragunath Kesavan berkata, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 mempunyai peruntukan mencukupi untuk merangka tuduhan separa jenayah (quasi-criminal) terhadap individu terlibat.
“Malah, undang-undang itu turut memperuntukkan pengarah syarikat boleh didakwa atas tindakan yang dilakukan pekerja mereka,” katanya.
Berdasarkan undang-undang itu, seseorang yang gagal menyediakan sistem kerja selamat boleh didenda sehingga RM50,000 atau dihukum penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya.
Seorang lagi peguam, R Kengadharan berkata, jawatankuasa itu, operator kren atau syarikat terlibat mungkin bertanggungjawab atas kecuaian serta tindakan lain dalam tort.
“Mereka mempunyai kewajipan menjaga penganut di tempat ibadat,” katanya sambil menambah semua individu yang hadir di kuil itu dianggap jemputan, oleh itu mereka tidak boleh dianggap penceroboh.
Beliau berkata, beban pembuktian terletak pada bakal defendan yang mesti menunjukkan mereka telah mengambil langkah untuk mencegah sebarang kemalangan dan menyediakan persekitaran selamat ketika upacara itu berlangsung.
Kengadharan berkata, dakwaan bahawa insiden itu adalah “takdir Tuhan” adalah “sangat mengarut”.