
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob berharap skop kerjasama antara negara Asean dapat dirancang lebih rapi supaya Bahasa Melayu kembali dijadikan “lingua franca”.
Beliau berkata, ia termasuk dalam aspek penyelidikan, penerbitan dan pemupukan Bahasa Melayu.
“Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri, khususnya dalam kalangan negara Asean dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi Asean,” katanya ketika merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini.
Ismail berkata, di peringkat Asean, penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan tercapai melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (Mabbim) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (Mastera).
Justeru katanya, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam negara, termasuk meminda Akta DBP 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk melaksanakan penguatkuasaan terhadap kesalahan penggunaan bahasa berkenaan.
Beliau menjelaskan peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu diperincikan dengan lebih jelas supaya pelaksanaan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan bahasa kebangsaan lebih berkesan.
Katanya, usaha sewajarnya juga perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pendidikan tinggi dalam negara.
Beliau menegaskan Malaysia dan rakyat sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara kerana banyak negara mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia, terutamanya penjawat awam memberi komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.
Ismail berkata, pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.
Katanya, perluasan penggunaan Bahasa Melayu perlu dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta.
“Jadikanlah peribahasa ‘di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung’ sebagai pegangan kerana cara itu barulah Bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan negara,” katanya.
Beliau juga memaklumkan usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia merupakan dasar kerajaan dan ia antara bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negeri Malaysia yang dilancarkan pada 7 Dis 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.
Katanya, ketika sidang kemuncak khas Asean-Amerika Syarikat di Washington baru-baru ini, beliau juga bercakap dalam bahasa kebangsaan, termasuk dalam sesi rundingan dua hala dengan negara lain pada sidang itu.
Beliau berkata, semua surat yang dihantar kepada pemimpin dunia juga dalam bahasa kebangsaan, dengan terjemahan Bahasa Inggeris.
Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang bermula hari ini hingga 24 Mei adalah kerjasama antara Pejabat Perdana Menteri, DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu serta Universiti Kebangsaan Malaysia.