
PETALING JAYA: Sebuah persatuan guru meminta Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) menyiasat kejadian sekumpulan murid sekolah duduk dan makan di atas lantai dalam gambar yang tular di media sosial.
Presiden Persatuan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd Azizee Hasan berkata, siasatan itu perlu untuk mengetahui kebenaran, selain bagi mengelakkan tanggapan dan persepsi negatif pelbagai pihak.
“Jika benar berlaku, ia amat dikesalkan dan tidak sepatutnya terjadi. Mungkin pihak sekolah boleh menyediakan alas tikar untuk murid duduk bersila supaya nampak tertib serta enak dipandang.
“Selain itu, pihak sekolah juga sepatutnya menyediakan tempat makan yang sesuai dan bersih kepada murid, malah tak wajar diperlakukan sebegitu, terutama ketika sambutan Hari Guru, sedangkan tetamu kenamaan disediakan meja makan khusus,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Semalam, beberapa gambar menunjukkan sekumpulan murid duduk bersila di atas lantai sambil makan, dipercayai ketika sambutan Hari Guru berdasarkan kain rentang dalam gambar itu, tular di media sosial.
Gambar lain menunjukkan seorang lelaki menyerahkan sampul duit raya kepada murid dan guru duduk di atas kerusi bersama meja makan berhias yang dikatakan dalam majlis sama.
Susulan itu, warganet menyuarakan rasa tidak puas hati kerana murid dibiarkan duduk di atas lantai tanpa alas dan dianggap tidak beradab.
Azizee berkata, pengurusan sekolah perlu cakna hal berkaitan kebersihan supaya sekolah menjadi tempat selamat dan bersih.
Kementerian Pendidikan pula, katanya, sewajarnya menaik taraf lantai kantin uzur dengan yang baharu dan memenuhi piawaian.