
PETALING JAYA: Empat pelajar sebuah sekolah menengah di Negeri Sembilan mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Seremban atas pertuduhan mencederakan seorang pelajar Tingkatan 1 pada 13 Mei lalu.
Menurut laporan Berita Harian, tiga daripada tertuduh juvana itu berusia 15 tahun dan seorang lagi yang berusia 16 tahun membuat pengakuan bersalah, sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan majistret Norzaliza Tesmin.
Berdasarkan pertuduhan, mereka secara bersama dengan sengaja menyebabkan seorang pelajar berusia 13 tahun cedera dengan cara memukul mangsa.
Kesalahan dilakukan kira-kira 12 tengah malam 13 Mei lalu di sebuah bilik asrama sebuah sekolah di daerah Seremban.
Mereka didakwa di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret menetapkan 22 Jun ini untuk pendengaran laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.
Terdahulu, keempat-empat pelajar itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Seremban kira-kira 9 pagi tadi ditemani ibu bapa masing-masing. Ibu bapa mangsa turut hadir.
Sebutan kes diadakan secara tertutup dengan majistret meminta mahkamah dikosongkan dan hanya ibu bapa tertuduh juvana dibenarkan berada dalam kamar.
Media sebelum ini melaporkan mangsa dipercayai disepak, dipukul dan ditampar pelajar senior sehingga lebam dan retak tulang pada pergelangan tangannya dalam kejadian itu.
Difahamkan remaja berusia 13 tahun itu dipanggil pelajar senior ke sebuah bilik di asrama kerana dikatakan menimbulkan masalah.