
SERDANG: Seramai lima pelajar termasuk seorang pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) menerima sumbangan komputer riba daripada Pusat Perhubungan Alumni Universiti Putra Malaysia (UPM), semalam.

Inisiatif itu adalah salah satu usaha membantu pelajar golongan asnaf dan B40 memiliki komputer riba bagi melengkapkan keperluan mengikuti pengajian di universiti itu.
Pelajar tahun pertama, jurusan Bahasa dan Linguistik Melayu, Nurdinie Azlan berkata, bantuan itu amat memberi kesan kepadanya kerana dia tidak lagi perlu meminjam komputer riba daripada rakan untuk menyiapkan kerja kursus.
Nurdinie berkata, dia sebelum ini hanya bergantung kepada skrin kecil pada telefon pintarnya untuk menyiapkan tugasan yang diberi pensyarah.

“Saya harap kerajaan perluaskan bantuan seperti ini kepada pelajar yang memerlukan. Dengan komputer riba ini, ia memudahkan saya menyiapkan tugasan sebab segan nak pinjam dengan kawan,” katanya yang merupakan OKU fizikal.
Sumbangan komputer riba itu disampaikan oleh Presiden Persatuan OKU Sentral, Senator Ras Adiba Radzi.
Dalam pada itu, seorang lagi pelajar, S Meena berkata, permohonan untuk mendapatkan komputer riba itu tidak susah kerana hanya memerlukan tempoh singkat untuk mendapatkannya.

“Sekarang komputer riba sangat penting kerana kelas juga banyak dibuat secara atas talian. Jika tiada komputer riba sangat susah,” katanya ketika ditemui pemberita.
Bagi seorang lagi pelajar universiti itu, Salamullah Kamsol, sumbangan itu sedikit sebanyak meningkatkan keyakinannya untuk belajar.
“Sebagai pelajar, komputer riba amat penting kerana apa-apa tugasan atau pembelajaran perlu ada komputer,” katanya.