
GEORGE TOWN: Percutian dua malam ke Pulau Perhentian Kecil, Terengganu bertukar menjadi malapetaka bagi enam sekawan yang mendakwa mereka mengalami keracunan makanan dan jatuh sakit selepas berenang di perairan yang dipercayai tercemar dengan sisa kumbahan yang tidak dirawat.
Salah seorangnya, Vilasini Kengartharan, 31, berkata beliau mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila seorang pekerja pusat peranginan didiami mereka menyarankan agar makan di hotel sahaja memandangkan “kes keracunan makanan semakin meningkat”.
Bagaimanapun, salah seorang rakannya, yang menerima nasihat pekerja tersebut dan hanya makan makanan disediakan pusat peranginan itu, turut jatuh sakit.
Vilasini berkata, kesemua mereka mula muntah-muntah pada malam terakhir percutian.

“Saya mempunyai isu yang sama ketika kali terakhir saya datang enam tahun lepas. Nampaknya, ia adalah ciri kekal pulau ini,” katanya.
Seorang wakil pusat peranginan tempat Vilasini dan rakan-rakannya menginap memberitahu FMT, tahap kebersihan mereka menepati piawaian yang ditetapkan oleh undang-undang.
Beliau berkata, dapur mereka baru-baru ini diberi penarafan “A” oleh pegawai keselamatan makanan jabatan kesihatan, dan beliau memberi jaminan bahawa mereka tidak membuang sisa kumbahan ke laut.
“Kami mempunyai kemudahan rawatan sisa kumbahan sendiri. Kami tidak pasti tentang orang lain,” katanya.
Kebimbangan mengenai sisa kumbahan dibuang
Terdapat kira-kira 50 pusat peranginan di Pulau Perhentian Kecil. Beberapa yang dihubungi enggan menyatakan sama ada mereka merawat sisa kumbahan mereka mengikut undang-undang.
Seorang pengusaha pusat peranginan yang tidak mahu dinamakan berkata, ramai pengusaha yang tidak bertanggungjawab mengambil jalan mudah dengan membuang sisa kumbahan yang tidak dirawat ke dalam laut.
“Kebanyakan pusat peranginan, hotel atau chalet di sini tidak mempunyai sistem rawatan kumbahan yang betul, malah kami tidak mempunyai bekalan kuasa yang betul.
“Kami semua menggunakan gen-set (set penjana). Kami hadapi semua kesulitan ini walaupun berada tidak jauh dari tanah besar,” katanya.

Pulau Perhentian Kecil terletak kira-kira 22km dari pantai Kuala Besut, kira-kira 45 minit perjalanan dengan menaiki bot.
Tinjauan FMT mendapati pengunjung pulau itu meninggalkan ulasan negatif di beberapa laman pelancongan popular, dan mendakwa muntah-muntah dan cirit-birit selepas mengunjungi pulau itu.
Seorang lagi pengendali pusat peranginan menunjukkan kepada FMT klip video yang memaparkan seolah-olah sisa kumbahan yang tidak dirawat dipam keluar terus ke laut, dengan jelas melanggar undang-undang alam sekitar, menurut seorang pakar sisa kumbahan yang melihat klip video itu.
‘Pantai mesti dikosongkan’
G Parameswaran dari Persatuan Keselamatan Kualiti Air dan Air Sisa Malaysia berkata, jabatan alam sekitar mesti menjalankan pensampelan segera di seluruh persisiran.
“Keseluruhan pantai hendaklah dikosongkan daripada pengunjung sehingga pemeriksaan menunjukkan pantai bersih daripada sebarang pencemaran E.coli, salmonella dan bakteria lain.
“Berdasarkan video yang ditunjukkan kepada saya, ini boleh menjadi bom jangka, kerana ia boleh menyebabkan penyakit serius, termasuk yang membawa maut,” katanya.
“Pihak berkuasa mesti menjalankan audit sisa kumbahan ke atas semua pusat peranginan, hotel atau mana-mana struktur di sepanjang pantai untuk melihat sama ada mereka membuang sisa terus ke laut,” katanya.
FMT telah menghubungi Exco Terengganu yang bertanggungjawab bagi kesihatan, alam sekitar dan kerajaan tempatan Dr Alias Razak untuk mendapatkan komen, namun belum menerima maklum balas.