Teman lelaki rogol pelajar hingga lahir anak serah diri

Teman lelaki rogol pelajar hingga lahir anak serah diri

Suspek berusia 25 tahun menyerah diri pada Sabtu selepas berita mengenai kejadian itu dilaporkan media, hujung bulan lalu.

Ketua Polis Padang Besar, Mohd Shokri Abdullah berkata, suspek telah direman bermula semalam sehingga Khamis bagi membantu siasatan.
PETALING JAYA:
Seorang pelajar sebuah kolej swasta di Selangor yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan berkait kes rogol remaja bawah umur di Padang Besar, Perlis, hingga melahirkan anak 29 Mei lalu, ditahan selepas menyerah diri, pada Sabtu.

Suspek berusia 25 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar selepas berita mengenai kejadian rogol dilaporkan media, 31 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Mohd Shokri Abdullah berkata, polis telah mendapat perintah reman untuk menahan suspek bermula semalam sehingga Khamis bagi membantu siasatan.

“Selain itu, bayi yang dilahirkan oleh remaja itu di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar masih berada dalam pengawasan pihak hospital disebabkan ia dilahirkan secara pramatang,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya lagi, kes masih dalam siasatan dan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan seterusnya.

Media sebelum ini melaporkan, polis sedang mengesan pelajar lelaki kolej swasta kerana disyaki terbabit dengan rogol gadis bawah usia di Beseri, Padang Besar, Oktober tahun lalu sehingga menyebabkan remaja berusia 16 tahun itu mengandung sehingga melahirkan anak di HTF Kangar.

Polis menerima maklumat mengenainya kejadian itu pada 8.45 pagi daripada pegawai perubatan HTF berhubung seorang remaja yang juga pelajar di sebuah sekolah menengah di Perlis mengenai kelahiran anak di luar nikah di hospital itu.

Susulan itu, polis kemudian ke HTF untuk bertemu dengan remaja berkenaan dan merakamkan percakapan mangsa mengenai kejadian itu dan mangsa menyatakan dia selamat melahirkan bayi.

Hasil siasatan lanjut berkaitan kes berkenaan mendapati mangsa sebelum itu ada menjalinkan hubungan seks dengan suspek yang juga teman lelakinya sebelum didakwa diperkosa di sebuah bilik di Jalan Kaki Bukit, Beseri.

Mangsa kemudiannya mendapatkan pemeriksaan di sebuah klinik swasta dan mendapati dirinya sudah hamil tujuh minggu dan perkara itu bagaimanapun tidak dimaklumkan kepada ahli keluarga atau sesiapa sehinggalah bayi itu selamat dilahirkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.