
KUALA LUMPUR: Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM140 juta susulan tambang percuma selama sebulan melibatkan semua perkhidmatan kendalian RapidKL, kata Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.
Dalam sidang media, Ismail turut mengumumkan tambang percuma selama sebulan melibatkan perkhidmatan KTM Lembah Klang dengan tanggungan subsidi sebanyak RM15 juta.
“Secara keseluruhan, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM155 juta sepanjang tempoh pemberian tambang percuma ini,” katanya selepas merasmikan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.
Katanya, tambang percuma itu juga diharap mampu mengurangkan kesesakan luar biasa yang dihadapi pengguna jalan raya di ibu kota ketika ini.
“Setiap hari ada sahaja aduan kesesakan melampau, dengan adanya MRT terutama tambang percuma akan dapat kurangkan kesesakan.
“Diharap pengguna akan manfaatkan perkhidmatan ini bukan setakat sebulan tetapi sampai bila-bila,” katanya.
Terdahulu, sempena pembukaan MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu secara rasmi hari ini, Ismail mengumumkan perkhidmatan percuma bagi semua pengangkutan awam di bawah kendalian RapidKL.
Tambang percuma itu membabitkan perkhidmatan MRT, LRT, BRT, Monorel serta bas RapidKL selama sebulan bermula hari ini.