
PUTRAJAYA: Seramai 9,696 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 memperoleh keputusan cemerlang gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran, menurut Ketua Pengarah Pendidikan Nor Zamani Abdol Hamid.
Dalam sidang media pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2021, beliau berkata, Gred Purata Nasional (GPN) yang dicatatkan bagi SPM 2021 adalah 4.86.
Nilai GPN yang lebih kecil menunjukkan pencapaian calon yang lebih baik.
GPN pada 2020 adalah 4.80, 4.86 pada 2019, 4.89 (2018), 4.90 (2017) dan 5.05 (2016).
“Sebanyak 55.29% calon lulus sekurang-kurangnya semua mata pelajaran,” katanya.
Nor Zamani berkata, calon SPM 2021 yang layak menerima sijil adalah seramai 336,630 orang, iaitu 88.09% daripada 407,097 calon yang mendaftar.
“Calon yang layak menerima sijil mesti lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah,” katanya serta menambah seramai 975 atau 69.10% daripada 1,411 calon berkeperluan khas (CBK) yang menduduki SPM 2021 juga layak mendapat sijil.
Selari dengan pelaksanaan KSSM, peperiksaan SPM 2021 menawarkan 95 mata pelajaran iaitu 27 mata pelajaran baharu dan 68 mata pelajaran sedia ada, dengan jumlah kertas peperiksaan adalah sebanyak 180.
Nor Zamani berkata Lembaga Peperiksaan akan menjalankan kajian terperinci keputusan SPM 2021 memandangkan ia pertama kali dilaksanakan dalam format baharu.
“Keputusan SPM 2021 ini memang kita tidak buat perbandingan dengan tahun sebelumnya kerana ia kohort pertama lalui KSSM,” katanya.