
KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) sedang menyiasat kes kematian bayi baharu lahir di Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah, Likas pada Ahad lepas yang tular di media sosial.
Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Rose Nani Mudin dalam kenyataan berkata, siasatan itu dijalankan secara terperinci dan telus oleh JKNS.
Beliau berkata, ibu kepada bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan diberi rawatan lanjut serta kaunseling oleh pihak hospital ketika ini.
“Terlebih dahulu, pihak JKNS ingin merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bayi ini.
“JKNS mengambil perhatian serius mengenai kejadian ini dan sedang menjalankan siasatan terhadap semua maklum balas yang diterima bagi tujuan menambah baik mutu perkhidmatan kami,” katanya.
Semalam, tular di media sosial dakwaan seorang wanita yang merupakan anggota keluarga kepada ibu dan bayi berkenaan, menuntut siasatan dilakukan bagi mengetahui sama ada terdapat unsur kecuaian dalam kejadian tersebut.