
SHAH ALAM: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri mengingatkan kepada peserta industri agar tidak leka terhadap amaran gelombang baharu Covid-19 yang dijangka berlaku lebih awal.
Bercakap pada sidang media, beliau berkata kementeriannya akan terus memantau perkembangan terkini kes Covid-19 dan bekerjasama rapat dengan semua pihak khususnya penggiat industri untuk mengemaskini sebarang arahan lanjut daripada Kementerian Kesihatan (KKM).
“Kita akan sentiasa memantau perkembangan terkini mengenai kes yang akan diumumkan (KKM), kita tidak boleh ambil ringan perkara ini.
“Kita sentiasa waspada dan akan bekerjasama dengan pemain industri untuk mengemaskini mereka apakah arahan lanjut (daripada KKM),” katanya.
Semalam, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata gelombang baharu Covid-19 berkemungkinan berlaku lebih awal berbanding tempoh antara dua atau tiga bulan seperti diumumkan sebelum ini.
Katanya, ia bukan bertujuan menimbulkan perasaan panik dalam kalangan masyarakat sebaliknya, mengambil kira kepada langkah pencegahan yang perlu diambil meliputi setiap aspek oleh semua pihak.
“Perkara ini (gelombang kedua) berdasarkan peningkatan kepada lebih 2,000 kes dilaporkan dalam negara sejak tempoh tiga hari kebelakangan ini dengan dua kluster baharu yang membimbangkan iaitu kluster pendidikan dan pengajian tinggi,” katanya dalam satu majlis di Rembau.
Terdahulu, beliau merasmikan program minat khas merangkumi segmen taman tema, selam skuba dan inap desa di bawah pelan pemulihan pelancongan 2022 di Wet World, Shah Alam.
Negara merekodkan sebanyak 2,796 jangkitan baharu Covid-19 semalam sementara satu kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Ia menjadikan keseluruhan kes positif sebanyak 4,549,847 kes dan 35,742 kematian.