
PETALING JAYA: Perjalanan pulang suami isteri selepas menghadiri perhimpunan motosikal berkuasa tinggi di Kuala Terengganu berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Kilometer 69, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, persimpangan Tanjung Jara, Dungun, petang tadi.
Mereka yang maut ialah Mohd Abdika Razali, 36, dan isterinya, Rabiatuladawiah Saufi, 36, selepas motosikal jenis Aprilia RSV4 merempuh kenderaan pelbagai guna (MPV) yang keluar simpang secara tiba-tiba, pada 4.18 petang.
Kejadian berlaku ketika pasangan itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Pengkalan Binjai, Kemaman, Terengganu.
Ketua Polis Dungun, Baharudin Abdullah berkata, MPV dipandu seorang pengurus projek Landasan Rel Pantai Timur (ECRL) warga China dipercayai keluar secara tiba-tiba dari simpang terbabit.
Pada masa sama, mangsa dari arah Kuala Terengganu ke Dungun dikatakan gagal membrek lalu merempuh bahagian pintu kanan kenderaan terbabit sebelum kedua-duanya tercampak atas jalan.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan yang dipanggil ke tempat kejadian.
“Kedua-dua mangsa maut akibat cedera di bahagian dalaman. Mayat suami isteri itu dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
“Pemandu warga China yang dalam perjalanan ke tapak projek di Merchang, Marang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Katanya, pengurus tapak projek itu membuat laporan di Balai Polis Dungun sementara kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.