
PETALING JAYA: Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Noh Omar menyifatkan apa yang melanda parti itu ketika ini hanya “perbezaan pendapat”, bukan disebabkan pertelingkahan antara kem menyokong Ahmad Zahid Hamidi dan Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, perbezaan itu dapat diselesaikan atas semangat kekeluargaan tanpa membabitkan anasir luar parti.
“Siapa kata ada kem, kalau dalam keluarga suami isteri pun ada berbeza pendapat, bapa dan anak pun boleh berbeza pendapat.
“Jadi dalam politik pun ada (beza pendapat), bagi saya ia perkara biasa dan perkara ini boleh diselesaikan dengan semangat kekeluargaan,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.
Noh yang juga ketua Umno Selangor berkata, sekiranya Umno mempunyai dua kem seperti didakwa bermakna parti itu sedang mempunyai “perlawanan” antara pemimpin, namun perkara itu tidak wujud.
“Umno hanya ada satu kem, kita tidak ada kumpulan A atau kumpulan B. Kalau ada kumpulan A dan kumpulan B itu maksudnya kita ada perlawanan, ini mana ada, sebarang perbezaan pendapat dalam Umno yang wujud pada masa ini tidak bermakna kita berpecah,” katanya.
Selepas dipecat sebagai ahli MKT Jumaat lalu, Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang media pada Isnin mendakwa, Zahid yang juga presiden Umno sebenarnya mengetuai gerakan menandatangani akuan berkanun (SD) bagi menyokong Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.
Tajuddin juga mendesak Zahid berundur sebagai presiden dan menyerahkan jawatan itu kepada Ismail yang juga perdana menteri. Tajuddin juga menuduh Zahid merancang menjadi perdana menteri selepas pilihan raya umum ke-15.