Presiden parti Sabah mengaku tak salah tipu warga asing untuk kad pengenalan

Presiden parti Sabah mengaku tak salah tipu warga asing untuk kad pengenalan

Mohd Arshad Abdul bersama seorang lagi individu menipu mangsa Al Saddam Husin mendaftar dalam program tidak wujud bagi mendapat kad pengenalan.

Presiden Parti Perpaduan Rakyat Sabah Mohd Arshad Abdul dan Mohamad Amkah Ahmad mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menipu seorang lelaki warga asing dalam mendapatkan kad pengenalan. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang presiden parti politik di Sabah dan seorang lagi individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, atas pertuduhan menipu seorang lelaki warga asing dalam mendapatkan kad pengenalan, dua bulan lalu.

Kedua-dua tertuduh iaitu Mohd Arshad Abdul, 46, dan Mohamad Amkah Ahmad, 48, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Majistret Nurshahira Abdul Salim.

Mereka didakwa bersama menipu Al Saddam Husin dengan menjanjikan bahawa dia akan mendapat kad pengenalan biru (warganegara) setelah mendaftar dengan “Program Pengumpulan Data Maklumat Dokumentasi Orang Tiada Kewarganegaraan” yang ia adalah tidak wujud.

Perbuatan itu mendorong mangsa menyerahkan wang RM35 yang dia tidak akan menyerahkan wang itu, sekiranya tidak diperdayakan sedemikian, lapor Kosmo.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis Tingkat 1, di Taman Serdang Perdana, Seri Kembangan, 2 petang pada 15 April 2022.

Bagi pertuduhan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,500 dan menetapkan 12 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding, hari ini, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamed Wafi Husain manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam sidang media di Bukit Aman, berkata kedua-dua individu itu ditahan pada 22 Jun lalu, di Subang Jaya kerana disyaki terlibat sindiket penipuan kad data maklumat individu tanpa kewarganegaraan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.