
PETALING JAYA: Ahmad Zahid Hamidi, Nik Aziz Nik Mat, Hadi Awang, Teresa Kok, Rina Harun, Dato Sri Vida (DSV) dan Nora Danish adalah antara personaliti yang mewarnai dunia politik dan hiburan negara dan mempunyai ceritanya tersendiri.
Meskipun ada pandangan positif dan negatif terhadap ahli politik serta selebriti, namun setiap daripadanya mempunyai pengaruh masing-masing baik dari segi kuasa dalam kerajaan atau perhatian masyarakat.
Atas dasar itu, Galeri Animal Malaysia menggunakan nama personaliti terbabit untuk kucing jalanan yang diselamatkan untuk dijadikan haiwan angkat oleh pihak yang berminat menerusi kempen “adoption” yang sedang berjalan sehingga 3 Julai depan.
Nama terkenal tarik perhatian terhadap nasib haiwan jalanan
Menjelaskan mengapa ia memilih nama personaliti untuk kucing terbabit, Presiden Persatuan Haiwan Malaysia Arie Dwi Andika berkata, ia adalah simbolik kepada perjuangan mereka supaya nasib haiwan jalanan mendapat perhatian ramai.
“Kita perlu perhatian daripada orang politik kerana mereka ada kuasa dalam kerajaan dan kita mahu orang ini melihat senario kucing jalanan, macam mana hendak bantu selamatkan daripada terus terbiar.
“Ini langkah untuk promosi hal kebajikan haiwan agar orang terkenal ini memandang aspek itu yang sebelum ini dipandang sepi,” katanya kepada FMT.

Arie berkata, kesemua kucing yang ada di premisnya diselamatkan di jalanan atau diserahkan oleh pemilik atas sebab kecemasan seperti berpindah ke luar negara, menghidap penyakit kronik dan meninggal dunia.
“Kita akan bantu rawat kucing terbabit dan pastikan ia pulih sebelum dibenarkan diambil oleh mereka yang berminat,” ujarnya.
Beliau berkata, premis Galeri Animal Malaysia yang bertempat di Taman Million, Kuala Lumpur itu menempatkan tiga sangkar utama bagi pengasingan kucing jalanan yang telah diselamatkan.
“Kita ada tiga sangkar utama, satu untuk kucing yang sedang jalani rawatan dan pemerhatian…bila dah sembuh rawatan, kita masukkan ke sangkar pemulihan untuk tunggu proses pemandulan dan menaikkan berat badan.

“Bila dah selesai kita pindahkan ke sangkar ‘ready to adopt’. Untuk adopter (keluarga angkat) pula kita akan pilih juga, sama ada dia benar-benar layak untuk jaga tanggungjawab (menjaga) itu,” katanya selain menambah bahawa kebiasaannya kucing yang diselamatkan memerlukan tempoh satu hingga empat minggu untuk pulih sebelum dibuka bagi serahan.
Arie menjelaskan, menerusi kempen itu mereka yang berminat boleh berkunjung ke premis berkenaan yang dibuka setiap hari dari jam 11 pagi hingga 6 petang untuk memilih kucing sebagai haiwan peliharaan.
Katanya, mereka yang mengikuti program itu perlu membekalkan kucing terbabit dengan makanan berkualiti jenama Buttons and Bows Malaysia, selain pasir Izzlisha Majesty untuk membuang sisa.
“Semua kucing jantan di Galeri Animal Malaysia telah dimandulkan, cuma ada 35 kucing betina menunggu waktu pemandulan,” jelasnya lagi.
Beliau yang menubuhkan pusat perlindungan haiwan itu pada Disember tahun lalu berkata, kucing yang diselamatkan perlu dimandulkan agar pembiakan tidak terkawal dapat dikurangkan.
“Kita tak mahu kucing-kucing ini dibiarkan tanpa pemandulan kerana akan tingkatkan populasi dan akhirnya akan kembali ke jalanan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, boleh layari Facebook Galeri Animal Malaysia.