
KOTA KINABALU: Polis menahan enam pelajar perempuan dan seorang bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Inanam, selepas dipercayai terbabit memukul rakan sekolah mereka, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah berkata, semua suspek yang berusia antara 13 hingga 17 tahun terbabit ditahan selepas bapa mangsa membuat laporan, semalam.
“Pihak polis telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan daripada bapa mangsa, semalam.
“Seramai enam pelajar perempuan dari sekolah sama berusia antara 13 hingga 16 tahun dan juga seorang bekas pelajar berusia 17 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan kes ini,” katanya ketika dihubungi FMT.
Sementara itu, Mohd Zaidi berkata, pihaknya memandang serius kes terbabit dan tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan membuli atau kekerasan membabitkan pelajar.
“Pihak polis juga menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik sebarang rakaman video yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat sebelum mendapat pengesahan dari pihak berkuasa,” katanya.
Terdahulu, video kejadian yang menyaksikan sekumpulan pelajar perempuan membuli rakan sekolah mereka itu turut tular di media sosial sejak semalam.