
PETALING JAYA: Sebuah kelab komedi di Taman Tun Dr Ismail (TTDI) yang terpalit kontroversi apabila seorang wanita melakukan persembahan dengan menanggalkan pakaian menutup aurat disahkan tidak mempunyai lesen hiburan, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Jalaluddin Alias.
Katanya, untuk rekod premis itu beroperasi tanpa lesen sejak 2014 hingga 2017.
Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan notis kepada premis tersebut mengikut Seksyen 101(1)(V) Akta Kerajaan Tempatan 1976.
“Premis berkenaan digantung operasi kerana tidak mempunyai lesen hiburan selaras dengan Seksyen 17, Akta Hiburan 1992.
“Walaupun beberapa permohonan telah dibuat, pengusaha premis gagal mematuhi pelbagai keperluan pada setiap permohonan,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu Jalaluddin berkata, premis berkenaan hanya memiliki lesen operasi restoran dan minuman keras yang diluluskan pada 2018.
Katanya, lesen itu masih sah sehingga kini, namun lesen hiburan masih tiada.
“Mana–mana pengusaha seumpama ini, perlu memiliki lesen premis dan lesen hiburan terlebih dahulu sebelum beroperasi.
“DBKL akan terus mempergiat operasi bagi mengekang aktiviti haram dan pelanggaran undang-undang di premis hiburan yang berada dalam Kuala Lumpur dari semasa ke semasa,” katanya.
Pada 10 Julai, DBKL menggantung sementara operasi Crackhouse Comedy Club di TTDI itu susulan klip video tular didakwa menghina Islam.
Jalaluddin berkata, tindakan itu sebagai mesej jelas bahawa pihaknya dan DBKL tidak sama sekali bertoleransi dengan apa jua aktiviti melanggar sensitiviti agama, bangsa dan kedaulatan negara.
Video berdurasi 54 saat itu tular di media sosial dan mendapat pelbagai komen dalam kalangan warganet selepas seorang wanita bertudung dan memakai baju kurung mendakwa menghafal 15 juzuk Al-Quran, bertindak menanggalkan pakaian menutup aurat dan hanya meninggalkan pakaian mencolok mata.
Pada 9 Julai, kelab itu dalam catatan di Facebook mengecam sekeras-kerasnya kandungan video tular berkenaan dan telah membuat laporan polis mengenainya di balai polis TTDI.