
PETALING JAYA: Penganalisis politik berpandangan penggunaan logo dan warna sesebuah parti pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak mempengaruhi psikologi pengundi.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berkata ini berikutan rakyat masa ini tidak hidup dalam zaman akses terhad atau menggunakan cara kempen yang terlalu tradisional.
Beliau berpandangan isu logo dan warna parti yang dibangkitkan oleh Perikatan Nasional (PN) itu tidak sebesar soal calon, isu atau manifesto.
“Mungkin pengundi tradisi ada masalah kalau tidak guna lambang tetapi pengundi secara umum tidak ada masalah.

“Lihat kepada penggunaan lambang Pakatan Harapan (PH) dan PKR secara berasingan di Johor serta lambang Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak yang memberikan gambaran bagaimana lambang tidak mempengaruhi undi pun buat kedua-dua parti,” katanya kepada FMT.
Malah, katanya, penggunaan lambang parti itu telah menambah undi buat PH dan PKR.
Pada 12 Julai lalu, cadangan PN memperkenalkan logo dan warna baharu gabungan parti itu untuk digunakan pada PRU15 bertujuan mengelak kekeliruan penyokongnya dengan Barisan Nasional (BN).
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata perkara itu telah dibincangkan pimpinan tertinggi gabungan berkenaan selepas pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Johor, apabila mendapati ada sebahagian penyokong mereka keliru antara warna PN dan BN.

Sementara itu, seorang lagi penganalisis Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata PN dilihat semakin hilang arah dengan ketiadaan Umno.
Katanya, pertukaran logo atau warna parti bukan satu isu yang besar, malah Bilcher mempersoalkan sama ada majoriti golongan pengundi yang buta warna atau buta huruf pada zaman ini.
“Apakah pengundi memangkah warna parti atau lambang parti?
“Jauh beza lambang BN (logo dacing) dan PN (tiada logo),” katanya.

Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Kartini Aboo Talib pula berkata isu logo dan warna parti tidak mempengaruhi pengundi di kawasan bandar dan negeri-negeri yang mempunyai kekuatan dan sokongan berbeza terhadap PN.
Beliau berkata mereka mungkin melihat logo dan warna tidak memberi impak serta tidak mengubah pendirian sama ada untuk mengundi PN atau sebaliknya.
“Berbeza di kawasan ‘moral constituents’ seperti Kelantan dan Terengganu, sebahagian Kedah serta Perak, PAS walau diganti logo dan warna akan terus mendapat sokongan kerana pengundi di sana adalah penyokong tegar,” katanya.