
GEORGE TOWN: Kerajaan Pulau Pinang pernah merancang dan berusaha untuk menyediakan satu litar khusus untuk peminat sukan motosikal di pekarangan Stadium Batu Kawan, dekat sini pada tahun lalu, namun tiada syarikat yang berminat menyertai projek itu, Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
“Sebenarnya sebelum ini, kami telah kemukakan satu cadangan untuk membuka satu litar motosikal di perkarangan Stadium Batu Kawan untuk kemudahan mereka (peminat motosikal), kita juga telah menjemput syarikat yang layak untuk menyertai RFP (tender) projek ini di bawah Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Soon Lip Chee.
“Jadi bukan kerajaan negeri tidak berusaha untuk elakkan kejadian sedemikian (kemalangan membabitkan penunggang motosikal) tetapi, tidak ada syarikat yang memberi respond kepada RFP tersebut kerana mungkin mereka tidak nampak potensi dalam sediakan litar ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung lima penunggang motosikal yang maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan beberapa buah kenderaan di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini, awal pagi Ahad lalu.
Mangsa yang maut adalah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19, Mohd Syazwan Hakim Mohd Abdul Sani, 22, Muhamad Eizreel Muhamad Roszadi, 25, dan Mohd Haziq Harris, 34.
Sebelum ini, Pulau Pinang mengumumkan akan membina litar lumba di Batu Kawan iaitu di atas tanah berkeluasan 2.8 hektar yang sudah dikenal pasti sebagai lokasi sesuai untuk membina litar berkenaan.
Soon dilaporkan berkata, tujuan kerajaan negeri membina litar tersebut adalah menyediakan suasana kondusif dalam mencari bakat sukan permotoran baharu.
Sementara itu, Chow berkata, kempen kesedaran secara besar-besaran perlu dijalankan secara berterusan bagi memastikan anak muda mengetahui risiko berlumba dan ibu bapa juga harus memainkan peranan penting dalam memantau aktiviti anak-anak mereka dan bukannya hanya mengharapkan pihak berkuasa semata-mata.
Katanya, polis telah dan sering mengambil tindakan penguatkuasaan untuk mengekang kegiatan lumba haram namun ia masih lagi berlaku.