
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang mengkaji mekanisme ketelusan harga yang akan menuntut syarikat farmaseutikal membentangkan harga jualan ubat-ubatan penting, terutama bagi rawatan kanser dan leukemia.
Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, mekanisme itu perlu memandangkan tiada ketelusan diamalkan syarikat berkenaan dalam memperincikan harga ubat-ubatan yang dijual.
“‘We are at the mercy of Big Pharma’, di mana kita sebenarnya tidak tahu apa sebenarnya kos-kos pengeluaran ubat-ubatan tersebut.
“Kita akan bawa satu ‘paper’ untuk diadakan mekanisme ketelusan harga ubat-ubatan di Malaysia supaya kita dapat tahu sebenarnya apakah kos yang adil dan berpatutan (untuk) ubat-ubatan tertentu,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab pertanyaan Salim Sharif (BN-Jempol) berhubung strategi yang akan diguna pakai KKM untuk menstabilkan harga ubat kanser dan rawatan leukemia.
Salim berkata, ubat yang digunakan untuk merawat kanser darah leukemia seperti ubat Jakavi menelan kos RM3,000 untuk penggunaan selama sebulan, manakala posaconazole dan letermovir berharga RM13,000 dan RM21,000 setiap satu untuk sebulan.
Katanya, antara faktor penyumbang kepada kenaikan tersebut adalah kenaikan harga bahan mentah yang diimport bagi penghasilan ubat-ubatan, ketidakstabilan ringgit dan peningkatan kos logistik.
“Menurut ketua pegawai operasi Duopharma Biotech Berhad, harga ubat-ubatan untuk bekalan dalam negara dijangka meningkat antara 5% ke 7% tahun ini.
“Kebimbangan saya adalah mengenai jenis ubat-ubatan yang tidak terdapat di hospital kerajaan, tetapi pesakit memerlukannya dan terpaksa membeli di luar kadar harga sangat tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, Khairy berkata, KKM akan meneliti mekanisme kawalan harga ubat sebagai langkah terakhir kerana kerajaan tidak mahu campur tangan dalam pasaran.
“Namun, kita akan buat (kawalan harga) jika perlu. Kita sudah buat kawalan harga sebelum ini untuk bekalan vaksin untuk sektor swasta,” katanya.