
PETALING JAYA: Dua persatuan perbankan memberi jaminan kepada pemegang kad bahawa data milik mereka selamat walaupun berlaku pelanggaran keselamatan siber melalui pembayaran dalam talian yang disediakan iPay88.
Dalam kenyataan bersama, Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dan Persatuan Institusi Perbankan dan Kewangan Islam Malaysia (AIBIM), berkata pihak bank sudah melaksanakan pendekatan lebih berjaga-jaga untuk menangani pelanggaran keselamatan siber.
“Pihak bank mengambil langkah tindak balas demi melindungi pemegang kad daripada potensi risiko yang mungkin berlaku susulan insiden,” katanya.
Langkah tindak balas termasuk meningkatkan pemantauan masa nyata untuk mengesan tingkah laku penggunaan kad luar kebiasaan dan penipuan.
Mereka berkata, pihak bank telah melaksanakan pendekatan keselamatan berlapis yang kukuh seperti pengesahan dwi-faktor bagi menghalang transaksi kad debit dan kredit tidak dibenarkan.
Katanya, pemegang kad boleh terus menggunakan kad bank milik mereka seperti biasa.
Mereka mengingatkan pemegang kad bahawa pihak bank akan menghubungi pelanggannya secara langsung menerusi saluran rasmi sekiranya berlaku transaksi luar kebiasaan yang dikesan dengan pengesahan perlu dilakukan.
“Mengambil kira ancaman keselamatan siber yang lebih sofisikated, pemegang kad diingatkan supaya sentiasa berwaspada setiap masa,” katanya.
Awal hari ini, penyedia penyelesaian pembayaran dalam talian, iPay88, mengesahkan berlaku insiden keselamatan siber yang mungkin telah menjejaskan data kad pengguna.
Dalam satu kenyataan, iPay88, berkata sejak 31 Mei lalu, mereka telah menggunakan pakar keselamatan siber bagi membendung isu tersebut.
Firma e-dagang itu berkata siasatan sedang dijalankan dan mereka bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa serta pihak lain yang berkaitan berhubung pelanggaran keselamatan itu.
Bagaimanapun Ipay88 tidak menyatakan bila pelanggaran keselamatan dipercayai berlaku.