
PETALING JAYA: Enam syarikat telekomunikasi (telco) utama negara diberi masa hingga 31 Ogos untuk bersetuju dengan jumlah yang perlu dibayar bagi mendapatkan akses kepada rangkaian 5G, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz.
Enam syarikat tersebut – Maxis, DiGi, Celcom, U Mobile, YTL dan Telekom Malaysia – sebelum ini bersetuju mendapatkan saham dalam Digital Nasional Berhad (DNB) yang ditawarkan kerajaan. Maxis dan U Mobile ialah dua syarikat terakhir yang bersetuju dengan syarat-syarat kepentingan ekuiti Isnin lepas.
“Beberapa peserta mungkin mahu menangguhkan lebih lama lagi, tetapi mana-mana syarikat yang mahu tandatangani boleh buat dahulu” kata Zafrul, menurut Malay Mail.
Katanya, syarikat telekomunikasi luar negara turut “beratur” untuk mendapatkan akses pasaran tempatan. Banyak syarikat turut sangat berminat, tambahnya.
Penyertaan antarabangsa juga mampu menurunkan harga buat pengguna, sambil menegaskan telco tempatan perlu diberikan keutamaan.
“Saya fikir kita perlu beri mereka peluang untuk terus menjadi peserta utama kerana mereka banyak melabur,” katanya lagi.
Pada 30 Jun lepas, Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa berkata, enam syarikat telekomunikasi utama telah bersetuju untuk mengambil kepentingan ekuiti dalam DNB bagi pelancaran rangkaian 5G.
DNB, syarikat milik kerajaan yang dilantik untuk mengendalikan kemudahan dan rangkaian 5G di seluruh negara, menawarkan kepentingan ekuiti sama rata sehingga 70% kepada telco utama menjelang 30 Jun.
Bagaimanapun, empat telco terbesar, Celcom Axiata Bhd, DiGi.com Bhd, Maxis Bhd dan U Mobile Sdn Bhd, dilaporkan mahu majoriti 51% pegangan ekuiti.