
PUTRAJAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menegaskan bahawa hak beliau sudah terjejas selepas Mahkamah Persekutuan hari ini tidak membenarkan peguamnya, Hisyam Teh Poh Teik menarik diri daripada rayuan kes SRC International.
“Saya ingin merakamkan bantahan sekeras-kerasnya berhubung prosiding rayuan hari ini, yang mana hak saya untuk hidup, kebebasan, dan perbicaraan adil di hujung tanduk,” katanya kepada pemberita.
“Seperti anda sedia maklum, peguam saya memaklumkan bahawa beliau tidak mahu meneruskan rayuan saya kerana tidak mempunyai masa secukupnya untuk membuat persiapan…Malangnya, mahkamah tidak membenarkan.”
Terdahulu, Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel lima hakim, berkata mahkamah sebulat suara berpendapat Hisyam “gagal mendedahkan alasan kukuh” untuk mewajarkan permohonan menarik diri.
Akibatnya, kata Najib, beliau seolah-olah tiada peguam dan tidak mampu membela dirinya di mahkamah hari ini. Hanya pihak pendakwaan mengemukakan kes.
Najib menambah perkembangan ini, yang mana tertuduh tiada peguam untuk mewakili kesnya sama sekali tidak pernah berlaku dalam kes berprofil tinggi seperti kes beliau.
“Perkara ini amat berat. Saya berharap mahkamah pertimbangkan hal ini dan mengambil langkah-langkah untuk membetulkan keadaan,” tegasnya.
Sementara itu, Hisyam pada sidang media sama berkata beliau sememangnya tidak boleh menjalankan tugas-tugas selaku peguam Najib dengan sebaik mungkin memandangkan tiada masa secukupnya untuk menghadapi perbicaraan.
Hisyam hanya dilantik kurang sebulan lalu.
“Maka, dalam keadaan ini, saya tidak dapat memainkan peranan dengan berkesan. Jadi, pada dasarnya, Najib tidak diwakili,” katanya.
Terdahulu, rayuan Najib kepada Mahkamah Persekutuan bagi kes SRC International dimulakan dengan permohonan daripada Hisyam yang memohon untuk menarik diri daripada mewakili bekas perdana menteri itu.
Sebelum ini, Hisyam memberitahu mahkamah bahawa pasukannya perlukan masa “tiga hingga empat bulan” untuk membuat persiapan, memandangkan mereka baru dilantik bulan lepas.
Permohonan beliau bagaimanapun ditolak.
Kes diteruskan dengan Hisyam terpaksa bergantung kepada hujah pasukan peguam terdahulu.
Mahkamah kemudian meminta pendakwaraya, V Sithambaram, berhujah.