
PETALING JAYA: Sepuluh wanita warga Afrika ditahan selepas dipercayai terlibat aktiviti pelacuran dalam serbuan di sebuah kondominium di Cyberjaya semalam.
Dalam serbuan 4 petang itu, tujuh warga Tanzania dan tiga warga Uganda yang semuanya berusia 23 hingga 27 tahun ditahan.
Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud, berkata siasatan awal mendapati sembilan daripada wanita itu memasuki Malaysia secara sah sebagai pelancong, manakala seorang lagi sebagai pelajar antarabangsa di sebuah pusat bahasa di ibu negara.
“Daripada semua tahanan ini, dua wanita masing-masing warganegara Tanzania dan Uganda dikenal pasti merupakan ‘mummy’, iaitu orang tengah dalam aktiviti pelacuran ini.
“Sindiket ini menyasarkan pelanggan daripada kalangan pelajar antarabangsa dan lelaki benua Afrika, terutama dari Nigeria dengan kadar bayaran RM200 hingga RM500 sekali langganan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pasukan operasi 20 pegawai imigresen Putrajaya turut merampas sembilan pasport, 13 telefon bimbit, satu kad akses, satu kad pelajar, empat set kondom dan sembilan buku nota yang merekodkan bukti langganan seks.
Beliau tidak menolak kemungkinan wujud sindiket pelacuran warga asing, terutama dalam kalangan pelancong dan pelajar antarabangsa dari Afrika, oleh itu siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan dalang sebenar di sebalik aktiviti serta rangkaian sindiket terbabit.
“Orang ramai dipohon terus bekerjasama dan menyalurkan aduan berkaitan aktiviti warga asing tidak bermoral dan melanggar undang-undang supaya tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan.”
Katanya, semua wanita itu dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran, Akta Imigresen, Akta Pasport dan Peraturan-peraturan Imigresen.