
KAJANG: Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata kemasukan pekerja asing ke Semenanjung sama ada profesional atau bukan profesional perlu mendapat kelulusan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) mulai 1 September ini.
Beliau berkata, langkah itu sebagai satu mekanisme untuk mengawal kemasukan pekerja asing ke negara ini dan membendung masalah pekerja asing tanpa izin.
Katanya, ketika ini beberapa agensi lain dibenarkan membawa masuk pekerja asing secara terus termasuk Jabatan Imigresen dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
“Hari ini kita letak tanda muktamad, tiada lagi (kemasukan tanpa kelulusan JTKSM). Dengan perubahan Akta Kerja 1955 tiada mana-mana agensi pekerjaan (dibenarkan) sama ada pekerja profesional atau bukan profesional luar negara masuk ke negara ini tanpa persetujuan ketua pengarah JTKSM berkuat kuasa 1 Sept ini.
“Kita boleh membentuk satu jendela tunggal dan akan memperincikan mekanisme terbaru untuk mengasingkan atau dapat membezakan (pekerja dan sektor),” katanya dalam program Minda Majlis Profesor Negara.
Dalam pada itu, Saravanan berkata, kementeriannya sedang menunggu kajian dilakukan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mewujudkan peluang pekerjaan buat etnik Rohingya di negara ini.
Beliau berkata, perkara itu membabitkan faktor keselamatan negara yang perlu diperhalusi sepenuhnya dan tiada kompromi berhubung perkara berkenaan.
“Akta mengatakan pelarian ini (etnik Rohingya) masuk ke Malaysia dalam masa beberapa tahun mereka perlu dihantar ke negara ketiga, tetapi setakat ini saya tak lihat mana-mana negara ketiga sanggup menerima,” katanya.