
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini mengekalkan keputusan Mahkamah Koroner bahawa kematian seorang pelajar Nigeria di pusat tahanan imigresen tiga tahun lalu bukan akibat kecuaian.
Pesuruhjaya Kehakiman, Azhar Abdul Hamid berkata, tiada sebarang salah arah dalam keputusan koroner ke atas kematian pelajar PhD, Orhions Ewansiha Thomas di Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil pada Julai 2019.
“Saya dapati tiada salah arah dalam keputusan mahkamah. Keputusan itu disahkan dan permohonan semakan kehakiman ditolak.”
Thomas ditahan bersama 19 yang lain oleh pegawai imigresen di Pangsapuri Desa Aman Puri di Kepong, Selangor pada 4 Julai 2019.
Jabatan Imigresen kemudian dilaporkan berkata, Thomas diserang sawan sebelum meninggal dunia lima hari kemudian dan hasil siasatan mendapati tiada sebarang unsur mangsa dipukul atau kekerasan digunakan.
Tahun lalu, Mahkamah Koroner memutuskan Thomas meninggal dunia atas sebab semula jadi dan menolak sebarang unsur jenayah.
Keluarga Thomas kemudian memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan itu, dengan mendakwa koroner Mahyon Talib gagal mempertimbangkan penahanan itu menyalahi undang-undang dan Thomas tidak diberikan rawatan apabila tidak sihat dalam tahanan.
Keluarganya turut mendakwa Thomas mempunyai dokumen perjalanan sah ketika dia ditahan.
Peguam mereka, Pavitra Loganathan berkata, beliau akan menunggu arahan daripada keluarga itu untuk tindakan lanjut.
“Kami perlu mendapatkan arahan daripada keluarga, jika mereka mahu meneruskan rayuan atau sebaliknya,” katanya kepada FMT selepas prosiding hari ini.