
PETALING JAYA: Ketika Perak menjadi “sarang” aktiviti pengganas komunis, seorang anggota Cawangan Khas (SB) yang berani meresapi unit musuh utama dan seterusnya “memusnahkan” pejuangnya, tanpa melepaskan walau sebutir peluru pun.
Anggota polis legenda itu, Paul Kiong, 78, masih sihat dan mampu menceritakan kisah keberaniannya pada 1980-an kepada FMT.
Antara 1968 hingga 1989, beliau terlibat dalam pelbagai operasi menentang pemberontakan komunis, sehingga dikurniakan anugerah tertinggi keberanian, Seri Pahlawan Gagah Perkasa.
Menceritakan pengalamannya, Kiong berkata, unit penyerang kelima Parti Komunis Malaya begitu terkenal dengan sikap agresif dan keberkesanan mereka dalam melaksanakan misi.
“Mereka memang kejam,” katanya yang menjelaskan unit itu merangkumi kira-kira 90 anggota yang berkemahiran tinggi dalam peperangan hutan.
“Ramai anggota keselamatan dan orang awam dibunuh oleh unit ini. Misi kami untuk melumpuhkan mereka,” katanya.
SB memilih melancarkan perang psikologi, dengan beliau ditugaskan melakukan pengintipan dan meresapi operasi mereka. Misi berisiko tinggi itu menyebabkan Kiong umpama mempertaruhkan nyawa di hujung tanduk pada setiap saat melaluinya.
SB yang disifatkan Kiong sebagai agensi risikan “terbaik di dunia” ketika itu, menyasarkan “perut komunis” dengan menyekat bekalan makanan mereka daripada petani yang mengerjakan tanah di pinggir hutan.

Ini merupakan strategi pelan Briggs dan Templer pada 1950-an, untuk mengasingkan komunis di dalam hutan dan memutuskan sumber sokongan di kawasan luar bandar.
“Apabila kebuluran, semangat juga luntur. Apabila lapar, anda tidak boleh berfikiran waras. Lama-kelamaan, anda akan bersedia meninggalkan rakan seperjuangan,” katanya.
Dengan perlahan-lahan, Kiong berjaya menarik segelintir daripada mereka keluar dari hutan, sebelum ditahan dengan bantuan rakan polisnya.
“Kami telah ‘menahan’ mereka, tetapi kami tidak memenjarakan atau membunuh mereka. Kami sebaliknya membuatkan mereka berpaling tadah untuk membantu kami.”
Pihak komunis tidak menyedari beliau perisik kerana sokongan ditunjukkannya terhadap perjuangan komunis begitu meyakinkan mereka sehingga beliau diberi kepercayaan melaksanakan tugasan penting.
Beliau diberikan tiga tugas, sebagai penghantar surat, tukang pengangkut dan “runner” makanan.
Kiong berjaya melaksanakan dua tugasan pertama kerana ia turut membantunya mengumpul maklumat penting, namun sebagai “runner” makanan, beliau sering memberikan pelbagai alasan untuk menjelaskan kegagalannya menyeludup bekalan makanan ke lokasi persembunyian komunis di dalam hutan.
“Setiap kali anggota komunis ditahan SB, saya terpaksa kembali ke hutan dan berpura-pura tiada apa yang berlaku. Tugas saya turut termasuk melumpuhkan unit berkenaan dengan memastikan mereka yang telah putus semangat mengkhianati komunis,” katanya, yang berjaya membuatkan kira-kira 40 anggota komunis membelot.

“Bukan semuanya dilahirkan jahat. Mereka mangsa indoktrinasi ideologi komunis dan misi kami untuk mengembalikan mereka ke jalan benar supaya dapat menjadi anggota masyarakat yang berguna semula.”
Bagaimana pula bahaya yang dihadapinya, jika orang disasarkan mendedahkan identiti sebenarnya kepada anggota lain dalam unit berkenaan?
“Saya beritahu mereka, saya bersedia kembali bersama dan mati di tangan mereka. Memang saya bertahan semata-mata atas dasar kepercayaan. Jadi, saya pulangkan amunisi mereka dan mengikut mereka masuk ke hutan. Jika tidak, saya pasti hilang peluang melumpuhkan aktiviti unit itu.”
Beliau mengakui pegawai atasannya juga bimbangkan keselamatannya.
“Saya beritahu ketua, memang saya risaukan nyawa sendiri, tetapi tetap perlu melakukannya. Jika saya mati, ia hanya satu nyawa yang melayang, tetapi sekiranya saya berjaya, maka kami dapat menyelamatkan nyawa anggota pasukan keselamatan.
“Jika tidak kerana kami mengambil risiko itu, mana mungkin kita mencapai kesejahteraan yang dikecapi hari ini?” katanya.
Kiong berkata, beliau banyak kali terlepas sambutan Hari Kebangsaan ketika menjalani aktiviti risikan.
“Memang sedih, namun saya memujuk diri kerana kita berjaya mengatasi ancaman inilah, rakyat mampu menyambut ulang tahun kemerdekaan tanpa rasa takut.”
Hari in, Kiong mungkin tidak dikenali umum seperti selebriti lain. Malah, tidak ramai tahu beliau sebenarnya pernah memainkan peranan penting dalam melumpuhkan ancaman komunis.
Kiong bersara pada 1998 dengan pangkat superintendan, selepas berkhidmat 32 tahun dengan polis.