
SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa mengingatkan kepada penerima tablet Peranti Siswa supaya menjaga peranti pemberian kerajaan itu sebaik-baiknya dan tidak menjual di Plaza Low Yat.
Beliau yakin pelajar yang menerima tablet itu “pandai-pandai” dan tidak menyalah gunakan pemberian kerajaan itu.
“Besar harapan saya pemberian secara ‘one-off’ dan percuma ini dapat dijaga dengan sebaik-baiknya dan tidak disalah gunakan.
“Kalau terkena banjir atau musibah juga tidak perlu risau kerana peranti lain akan diberikan secara berterusan. Asalkan jangan jual di Low Yat,” katanya dalam sidang media, di Majlis Inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Dalam pada itu, Annuar berkata, sekiranya tablet Peranti Siswa itu rosak, boleh dihantar terus ke pusat perkhidmatan Samsung.
Beliau berkata, pelajar tersebut akan terus mendapat tablet baharu jika rosak kerana mempunyai jaminan selama dua tahun.
Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kerajaan bersetuju memberi terus tablet Peranti Siswa kepada semua pelajar tanpa perlu memulangkan semula peranti itu apabila tamat pengajian.
Sebelum ini, inisiatif Peranti Siswa Keluarga Malaysia di bawah Belanjawan 2022 yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia melibatkan peruntukan RM450 juta.
Annuar berkata, program berkenaan bertujuan membantu mahasiswa institut pengajian tinggi (IPT) keluarga B40 yang mempunyai purata bulanan pendapatan isi rumah bawah RM 4,850.
Sementara itu, Annuar berkata, pemberian tablet Peranti Siswa kekal sebanyak 400,000 yang akan diagihkan kepada dua fasa untuk tahun ini.
Beliau menjelaskan, pemberian itu dibuat secara berfasa berikutan memberi peluang pelajar baharu memasuki universiti di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) berpeluang memohon peranti itu.