2 beradik direman berkait bayaran palsu RM23 juta projek pangsapuri

2 beradik direman berkait bayaran palsu RM23 juta projek pangsapuri

Dua suspek lelaki bekas pengarah urusan sebuah syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan ditahan di Ibu Pejabat SPRM semalam.

SPRM berkata dua beradik itu disyaki menggunakan kemudahan ‘overdraf’ bank bernilai lebih RM23 juta antara 2017 hingga 2019 bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta yang tidak dilaksanakan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua beradik direman tiga hari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki terbabit kes pembayaran palsu bernilai lebih RM23 juta bagi sebuah projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur.

Sumber berkata, dua suspek lelaki yang merupakan bekas pengarah urusan sebuah syarikat pembangunan, kejuruteraan dan pembinaan terbabit ditahan di Ibu Pejabat SPRM, kira-kira 7 malam, semalam, ketika hadir memberi keterangan.

“Dua suspek berusia 60-an terbabit disyaki telah membuat pembayaran palsu dan curang kepada perunding, sub-kontraktor dan pihak-pihak ketiga.

“Mereka (suspek) disyaki menggunakan kemudahan perbankan ‘overdraf’ sebuah bank tempatan bernilai lebih RM23 juta antara 2017 hingga 2019 bagi projek pembinaan pangsapuri di Kuala Lumpur bernilai lebih RM350 juta sedangkan projek tersebut tidak dijalankan,” katanya.

Beliau berkata, permohonan reman bermula hari ini itu dibenarkan Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin selepas SPRM membuat permohonan di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Siasatan SPRM, Hishamuddin Hashim mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.