
PETALING JAYA: Kerusi Parlimen mencukupi untuk setiap parti komponen Pakatan Harapan (PH) bertanding pada pilihan raya umum akan datang, kata Ahli Parlimen PKR Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah.
Katanya, jumlah kerusi di Dewan Rakyat mencukupi, walaupun Muda dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyertai PH.
Beliau juga menyambut baik rundingan pemimpin PH dengan Muda dan PSM kerana rundingan itu dapat meningkatkan imej gabungan pembangkang yang bersatu.
“Apa yang rakyat mahu lihat adalah pembangkang bersama, jadi berunding antara satu sama lain adalah permulaan baik,” katanya.
Walaupun ramai daripada partinya sendiri menyuarakan kebimbangan terhadap Muda menyertai PH, Maria berkata, perkara itu harus diserahkan kepada jawatankuasa untuk dibincangkan.
Merujuk minat Muda bertanding di kerusi yang dimenangi Bersatu ketika menyertai PH pada 2018, katanya, keputusan akhir bergantung sepenuhnya kepada pucuk pimpinan.
“Ada banyak kerusi yang boleh ditandingi Muda. Cukup kerusi untuk ditandingi semua orang, termasuk PSM (dan muda),” katanya kepada FMT dalam wawancara.
Bekas ketua Bersih itu berkata, Muda mempunyai permulaan menggalakkan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor Mac lalu, apabila parti baharu itu memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa.
“Untuk parti baharu, memenangi satu kerusi adalah permulaan baik. Anda harus bermula di sesuatu tempat dan mereka bermula di kerusi DUN.”
Ditanya sama ada Muda mampu meraih sokongan pengundi muda untuk PH, Maria berkata, sayap Pemuda sedia ada dalam parti komponen PH mempunyai penyokong kuat mereka sendiri.
Bagaimanapun, jelasnya, menarik sokongan pengundi muda memerlukan usaha pelbagai pihak, di mana Muda boleh membantu.
Awal bulan ini, Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook dilaporkan menyambut baik laporan Muda mahu menyertai PH, namun sebahagian pemimpin PKR tidak berkongsi pendapat sama.
Timbalan Ketua Komunikasi PKR, Razeef Rakimin menganggap Muda liabiliti dan menasihati pemimpin PH menolak kemasukan parti itu, dengan memetik penghinaan dan kenyataan angkuh pemimpin Muda pada PRN Johor tahun lalu.
Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad menerusi Twitter membidas “segelintir pemimpin PH” yang tergesa-gesa memulakan rundingan dengan Muda sebelum Majlis Presiden membuat sebarang keputusan.