
PETALING JAYA: Polis mengesahkan menerima laporan berkaitan wang palsu yang diterima seorang penghantar makanan melalui transaksi penjualan telefon pintar, di sebuah pasaraya di Bandar Teknologi Kajang, hari ini.
Difahamkan, mangsa menjual telefon itu untuk dijadikan modal perniagaan namun kejadian lain pula berlaku di sebaliknya.
Ketua Polis Kajang Mohd Zaid Hassan, berkata mangsa mengiklankan jualan telefon bimbit melalui Facebook sebelum seorang wanita tertarik dan mahu membeli telefon itu.
Beliau berkata, setelah bersetuju dengan tawaran harga diberikan, mangsa berjumpa dengan suspek yang ditemani seorang lelaki menaiki kereta Kia Cerato berwarna coklat.
“Suspek kemudian menyerahkan wang tunai RM1,950 kepada mangsa yang terdiri 17 keping not RM100 dan lima keping not RM50.
“Setelah selesai berurusan, mangsa pergi ke bank untuk memasukkan wang itu melalui mesin tunai deposit (CDM), namun mendapati semua not RM100 diterima adalah palsu selepas tidak diterima mesin itu,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, mangsa memuat naik kenyataan di Facebook mengenai kes penipuan menggunakan wang palsu yang berlaku terhadapnya pada 20 Sept.
Katanya, semua not RM100 diterimanya adalah wang palsu namun hanya not RM50 tulen.
Justeru, Zaid menasihatkan orang ramai berwaspada dengan modus operandi penipuan menggunakan wang disyaki palsu seperti ini.
“Sebagai langkah pencegahan, orang ramai dinasihati berhati-hati dan tidak berurusan secara terburu-buru terutama melibatkan pembelian secara tunai serta mengenalpasti individu berurusan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
“Kes disiasat mengikut seksyen 489B Kanun Keseksaan,” katanya.