
BANGI: Menteri sumber manusia dilihat enggan “melayan” hasrat wakil rakyat DAP mahu penjelasan mengenai isu pekerja asing diadakan di Parlimen, sebaliknya menegaskan beliau akan mengemukakan bukti dalam taklimat khas di pejabatnya pada 5 Okt.
M Saravanan berkata, tiada keperluan isu itu dibawa ke Parlimen kerana ia membabitkan kementerian diterajuinya, selain bersedia mengemukakan usaha dan bukti dilakukan dalam menangani isu berkenaan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham yang mahu isu pekerja asing dibawa ke Parlimen walaupun timbalan presiden MIC itu sudah memberikan surat jemputan taklimat khas kepada Ngeh, termasuk Pengerusi DAP Lim Guan Eng, bagi pertemuan bersemuka pada 5 Okt.
“Apa kena-mengena Parlimen dengan kementerian? Isu pekerja asing ini melibatkan Kementerian Sumber Manusia.
“Dia kata saya gagal menjalankan tanggungjawab sebagai menteri sumber manusia. Kenapa tidak datang pejabat sumber manusia dulu? Saya akan tunjukkan bukti dokumen-dokumen mengenai segala usaha kita lakukan dalam isu pekerja asing,” katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Dialog Berstruktur Tripartite 2022.
Saravanan berkata, pihak kementerian sudah melakukan yang terbaik sambil secara berseloroh menyatakan “beliau sendiri tidak pergi ke negara sumber untuk membawa masuk pekerja asing”.
“Jika betul-betul nak taklimat khas diadakan di Parlimen, kenapa tidak boleh tunggu satu minggu lagi untuk mengeluarkan kenyataan sewaktu persidangan Parlimen itu. Sampai masa untuk negara kita menghentikan budaya politik DAP ini,” katanya.
Susulan itu, Saravanan menjemput semua media hadir taklimat khas berkenaan selaku panelis untuk menilai sama ada beliau dan kementerian bawah pimpinannya menjalankan tanggungjawab atau tidak, sambil menilai siapa yang seharusnya meletakkan jawatan.
Hari ini, Ngeh berkata, beliau sedia menghadiri taklimat khas oleh Kementerian Sumber Manusia berhubung kekurangan tenaga kerja asing dihadapi negara, namun mahu ia diadakan di Parlimen, bukannya di pejabat Saravanan.
Katanya, taklimat itu perlu dibuka kepada media sambil menggesa Saravanan meletakkan jawatan sebaik beliau menunjukkan bukti ketidakcekapan menangani isu pekerja asing.
Semalam, Saravanan mempelawa Ngeh dan Lim ke taklimat khas di pejabatnya, susulan dakwaan mereka mengenai kekurangan tenaga kerja asing di Malaysia.