
PETALING JAYA: Rancangan kerajaan mengadakan forum bagi membincangkan penyertaan lebih ramai wanita dalam politik disifatkan sebagai membuang masa.
Fuziah Salleh, ketua Wanita PKR berkata, forum yang sekadar menjadi platform perbincangan, tidak menjanjikan sebarang perubahan terhadap perwakilan wanita dalam badan perundangan.
“Apa yang kita perlukan sekarang ialah dasar tindakan afirmatif, seperti di Indonesia, di mana parti politik dikehendaki memastikan wanita membentuk sekurang-kurangnya 30% daripada senarai calon perundangan mereka,” kata Fuziah yang merupakan Ahli Parlimen Kuantan.
Beliau berkata, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun sepatutnya mengemukakan idea lebih baik.
Minggu lalu, Rina dilaporkan berkata, kementeriannya akan mengumpul wakil wanita dari semua parti politik minggu ini untuk membincangkan keperluan negara mempunyai lebih ramai pemimpin wanita.
Forum itu akan diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia, dengan kerjasama Majlis Kebangsaan Pertubuhan Wanita.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, ujian sebenar adalah tindakan yang diambil selepas forum itu. “Setakat ini, kita hanya berada di peringkat bercakap tentang banyak perkara.”
Katanya, kementerian seharusnya lebih proaktif, bukan saja meminta peningkatan 30% dana, tetapi juga membantu wanita dalam mengambil peranan kepimpinan.
“Wanita sudah tidak mempunyai akses kepada banyak sumber, apatah lagi mengumpul wang untuk membayar deposit pilihan raya. Kebanyakan wanita bekerja di sektor tidak formal, jadi terdapat keperluan untuk meningkatkan pendapatan mereka dan membantu pemulihan ekonomi mereka.”